Rapid KL Sedia Bas Perantara Khas Percuma Sempena F1 Di Sepang
Hafiz Omar
Bersempena dengan perlumbaan Formula 1 (F1) Bahrain GP yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 2hb hingga 4hb Oktober kelak, Rapid KL, tampil menyediakan perkhidmatan bas perantara khas percuma.
Menerusi satu siaran media, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan itu disediakan untuk ke SIC secara ulang-alik (loop service) bermula dari tiga lokasi seperti berikut:
- Hub Bas Aras 1, KLIA Terminal 2
- Hub Bas, Mitsui KLIA
- De-Village, Persiaran Millenia 2, Bandar Baru Enstek
SIARAN MEDIA
RAPID KL SEDIA BAS PERANTARA KHAS PERCUMA SEMPENA PERLUMBAAN DI LITAR ANTARABANGSA SEPANG, 2 – 4 OKTOBER 2026 pic.twitter.com/0CMuq8d0wT
— Ask Rapid KL (@askrapidkl) September 24, 2026
Bagi melengkapkan perkhidmatan tersebut, penyedia perkhidmatan pengangkutan awam milik Prasaran itu turut menyediakan perkhidmatan bas perantara dalam kawasan litar bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi utama.
Perkhidmatan bas perantara percuma itu akan beroperasi bermula dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam sepanjang tiga hari perlumbaan tersebut.
Tambah Rapid KL, sebanyak 95 buah bas disediakan bagi tujuan perkhidmatan percuma ini dan ianya dijayakan dengan kerjasama SIC. Kesemua bas yang digunakan akan menjalani pemeriksaan keselamatan serta dipantau secara berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat.
Maklumat lanjut mengenai laluan dan jadual operasi perkhidmatan bas perantara boleh diperoleh menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi Rapid KL.
FEATURED IMAGE: Rapid KL