3 Pengadil Malaysia Terpilih Bertugas Di Piala Asia 2027
Hafiz Omar

Saingan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi akan diserikan dengan kehadiran tiga pengadil dari Malaysia, demikian perkongsian daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tiga individu yang terpilih itu adalah Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin serta dua Penolong Pengadil, Mohamad Mu’azi Zainal Abidin dan Mohamad Zairul Khalil Tan.
Menariknya, Nazmi menjadi satu-satunya Pengadil dari rantau Asia Tenggara yang terpilih dalam kalangan 24 orang Pengadil yang akan bertugas di Piala Asia edisi ke-19 terbabit.
Ketiga-tiga individu yang terpilih ini bukanlah nama yang asing di kejohanan Piala Asia. Sebelum ini, nama Nazmi dan Zairul telah terpilih untuk berkhidmat pada Piala Asia 2023 sementara Mu’azi pula pernah menyertai Piala Asia 2019.
Selain daripada tiga nama tersebut, seorang lagi pegawai dari Malaysia merangkap bekas Pengadil FIFA iaitu Subkhiddin Mohd Salleh turut dilantik untuk bertugas selaku Instruktur Teknikal pada kejohanan itu.
Untuk makluman, saingan Piala Asia 2027 akan berlangsung di lapan buah venue terdiri daripada King Abdullah Sports City Stadium, Al Khobar Stadium, Prince Abdullah Al Faisal Sports City Stadium, King Saud University Stadium, Kingdom Arena, Imam Mohamed Ibn Saud Islamic University Stadium dan Al Shabab Club Stadium bermula dari 7hb Januari sehingga 5hb Februari 2027.
FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia