Piala ASEAN FIFA: Malaysia Belasah Bangladesh
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe memulakan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di peringkat Kumpulan A dengan membelasah Bangladesh.
Pertemuan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu bermula dengan Malaysia mendahului seawal minit ke-18 menerusi Arif Aiman Hanapi setelah menerima hantaran daripada Nooa Laine.
Tidak cukup dengan jaringan itu, pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut itu menggandakan gol buat Malaysia dari dalam kotak penalti pada minit ke-38 selepas mendapat lorongan daripada Stuart Wilkin.
Pendahuluan 2-0 ke atas Bangladesh bimbingan Thomas Dooley itu kekal sehingga berakhirnya aksi separuh masa pertama.
View this post on Instagram
Bersambung separuh masa kedua, Malaysia menambah satu lagi koleksi jaringan apabila penyerang naturalisasi yang melakukan debut, Bergson da Silva memasukkan bola ke dalam gawang pada minit ke-52.
Penggempur kelahiran Brazil yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencetak jaringan sulungnya bersama Harimau Malaya selepas mendapat bola suapan dari bek kiri, La’Vere Corbin-Ong.
Kedudukan 3-0 itu berlanjutan sehingga pengadil dari Turkmenistan, Mammedov Resul meniup wisel menamatkan permainan sekaligus menyaksikan Malaysia meraih tiga mata pertama dari saingan ini.
Keputusan itu memperlihatkan Malaysia mengungguli Kumpulan A bagi Divisyen 1 sambil dikejar tuan rumah, Indonesia di tangga kedua dan diikuti Singapura serta Bangladesh.
Perlawanan seterusnya, Malaysia akan berhadap Indonesia di venue yang sama dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8.30 malam (waktu Malaysia).
FEATURED IMAGE: Malaysia NT Facebook