Sukan Asia: Pearly-Thinaah Tewas Aksi Separuh Akhir

September 28, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terlepas peluang untuk mara ke perebutan pingat emas di Sukan Asia 2026 selepas tewas aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah tewas aksi terbabit di tangan pasangan No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning menerusi tiga set permainan yang berlangsung sengit bertempat di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.

Pearly-Thinaah memulakan pertarungan itu dengan langkah kanan memenangi set pertama menerusi skor 21-16. 

Bagaimanapun, gandingan 22 dan 23 tahun masing-masing itu berhasil bangkit pada set kedua untuk memenanginya dengan skor 22-20. 

Kedudukan itu memaksa permainan dilanjutkan ke set ketiga dimana Sheng Shu-Ning berhasil mengekalkan konsistensinya dan menumpaskan Pearly-Thinaah menerusi skor 21-12.

Walaupun terlepas peluang untuk merebut kilauan emas, kemaraan Pearly-Thinaah ke peringkat separuh akhir telah menamatkan kemarau 12 tahun Kontinjen Malaysia untuk membawa pulang medal sekurang-kurangnya gangsa daripada temasya Sukan Asia.

Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita negara pertama mara ke peringkat itu susulan menewaskan wakil India, Gayatri Gopichand dan Treesa Jolly menerusi skor 21-18 dan 21-9 pada pertemuan peringkat suku akhir, semalam.

Kali terakhir beregu wanita negara membawa pulang medal daripada kategori ini adalah menerusi gandingan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei ketika beraksi di Incheon pada tahun 2014.

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd