Sukan Asia: Speedy Tigers Juarai Pool B

September 28, 2026
Hoki

Hafiz Omar

Skuad hoki lelaki kebangsaan berjulukan Speedy Tigers menamatkan kempen Pool B di Sukan Asia 2026 dengan rekod lima kemenangan bersih sekaligus menempah tiket ke peringkat separuh akhir dengan bergaya.

Malaysia bimbingan Brendon Carolan menjuarai Pool B dengan lima kemenangan bersih selepas menumpaskan China 5-0 dalam perlawanan akhir Pool B yang berlangsung di Gifu Prefectural Green Stadium, pagi tadi.

Lima jaringan itu hasil sumbangan Fitri Saari (13’), Akhimullah Anuar (21’), Ashran Hamsani (24’), Faizal Saari (40’) dan Abu Kamal Azrai (59’).

Kemenangan itu menyaksikan status Malaysia selaku juara Pool B dengan kutipan 15 mata tidak boleh dipintas lagi oleh pencabar terdekat iaitu Pakistan yang bakal menentang Oman pada aksi kelima. 

Sebagai rekod, Speedy Tigers memulakan kempen Pool B dengan mencatatkan kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan dan Oman pada aksi pertama dan kedua masing-masing. 

Pada aksi ketiga, Malaysia berpesta gol membantai skuad jiran tetangga, Thailand dengan keputusan 10-0 sebelum merekodkan kemenangan tipis 5-4 pada aksi keempat ke atas Pakistan yang memberikan tentangan sengit sehingga ke penghujung permainan.

Pada peringkat separuh akhir kelak, Malaysia akan menantikan naib juara Pool A berkemungkinan besar samada hos iaitu Jepun atau Republik Korea.

Untuk makluman, pasukan yang menjuarai saingan di Sukan Asia ini akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

FEATURED IMAGE: Malaysian Hockey Confederation Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd