KDA FC Tak Sertai Pertandingan Kompetitif Musim 26-27
Hafiz Omar
Kelab yang tersingkir daripada saingan Liga A1 Semi-Pro, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengesahkan tidak akan beraksi dalam mana-mana pertandingan kompetitif bagi musim 2026-27.
Menurut satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menumpukan usaha menyelesaikan komitmen dan tanggungan kewangan sedia ada serta mengukuhkan semula pengurusan dan operasi kelab.
“Langkah-langkah pengukuhan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diselesaikan demi menyediakan asas yang lebih kukuh untuk masa depan KDA FC.”
View this post on Instagram
“Sebarang keputusan mengenai penyertaan kelab dalam pertandingan pada masa hadapan akan dibuat berdasarkan tahap kesediaan kelab.” tulis kenyataan kelab berjulukan Sang Kenari itu.
Pada musim lalu, kelab milik Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar itu hanya mengutip satu mata hasil merekodkan satu keputusan seri daripada 28 perlawanan yang diharungi.
Kutipan satu mata itu menyaksikan skuad Hijau Kuning menamatkan kempen Liga A1 tangga ke-15 liga, tercorot, sekaligus tersingkir ke Liga A2 Amateur.
Bagaimanapun, pihak penganjur iaitu Amateur Football League (AFL) memaklumkan KDA FC juga tidak memohon untuk menyertai saingan Liga A2.