Piala ASEAN FIFA: 10 Pemain Indonesia Ikat Malaysia
Hafiz Omar

Derbi nusantara yang menemukan Indonesia dan Malaysia di Stadion Geloran Bung Karno pada aksi kedua peringkat Kumpulan A – Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 terikat tanpa sebarang jaringan.
Indonesia bimbingan jurulatih England, John Herman menarik nafas lega kerana berhasil meraih sekurang-kurangnya satu mata di hadapan penyokong sendiri biarpun terpaksa bermain dengan 10 orang sejak minit ke-37.
Situasi itu hadir susulan pemain Indonesia kelahiran Amsterdam, Thom Haye mendapat kad kuning kedua seterusnya dilayangkan kad merah oleh pengadil, Ko Hyung-jin ekoran mengasari Arif Aiman.
Mulai saat itu, Sang Garuda mula mengubah pendekatan permainannya dengan tampil lebih defensif dan berkubu di hadapan gawangnya mengelak daripada dibolosi serangan bertali arus Malaysia.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan A • Piala ASEAN FIFA 2026
Isnin, 28 September 2026MALAYSIA 🇲🇾 0-0 🇮🇩 INDONESIA
🟥 🇮🇩 Thom Haye 37′ #FAM #HarimauMalaya #FIFAASEANCup pic.twitter.com/0BRwnIOhgv
— Malaysia NT (@malaysia_nt) September 28, 2026
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe pula dilihat gagal mengambil kesempatan daripada situasi kekurangan pemain yang dihadapi oleh Indonesia untuk menjaringkan gol.
Di penghujung permainan, Malaysia meningkatkan lagi asakan untuk memburu jaringan kemenangan namun kecekapan penjaga gol, Emil Audero mengekang percubaan demi percubaan menghancurkan harapan Harimau Malaya.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga ke masa tambahan sehingga Hyung-jin dari Korea meniup wisel menamatkan permainan.
Biarpun seri, Malaysia mengungguli carta Kumpulan A namun berkongsi mata yang sama dengan Indonesia di tempat kedua.
Aksi seterusnya, Malaysia akan berhadapan Singapura pada 1hb Oktober (Khamis) dengan sepak mula pada jam 8.30 malam (waktu Malaysia).
Juara Kumpulan A akan layak ke perlawanan akhir bertemu juara Kumpulan B sementara naib juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan ke penentuan tempat ketiga.
FEATURED IMAGE: Malaysia NT