Sukan Asia: Regu Malaysia Raih Perak
Hafiz Omar
Hajat skuad sepak takraw lelaki negara untuk menjelmakan sebutir lagi pingat emas di Sukan Asia 2026 tidak kesampaian apabila tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir acara regu, sebentar tadi.
Malaysia mempertaruhkan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Aidil Aiman untuk menentang gandingan Thailand yang dibarisi Kritsanapong Nontakote, Wuttinun Kamsanor dan Tanaphon Sapyen.
Episod kekalahan Malaysia bermula seawal set pertama apabila tewas menerusi skor 9-15.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun sempat mengubah percaturan dengan memasukkan Afifudin Razali dan Zulkifli Abd Razak untuk mendapatkan semula rentak permainan bagi mengekang asakan lawan.
Bagaimanapun, perubahan tersebut tidak membuahkan hasil seperti diharapkan dan trio asal dikembali semula sehingga Malaysia terpaksa akur tewas set kedua menerusi skor 8-15.
Keputusan itu sekaligus menghanguskan hajat Malaysia untuk meraih kilauan emas kedua selepas meraih menjuarai acara regu berpasukan sebelum ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berhasil mengungguli kedua-dua acara regu berpasukan dan regu adalah ketika beraksi di Sukan Asia di Beijing pada tahun 1990.