Sukan Asia: Malaysia Terlepas Gangsa Pecut Berpasukan Lelaki
Hafiz Omar
Kontinjen Malaysia terlepas peluang untuk menambah kepingan medal di Sukan Asia 2026 apabila trio pelumba basikal trek tewas aksi penentuan pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki, sebentar tadi.
Trio yang terdiri daripada Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Jusena terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat keempat diiringi catatan masa 44.341 saat (s).
Sebaliknya kepingan gangsa itu menjadi milik pelumba Hong Kong dibarisi Mok Tsz Chun, To Cheuk Hei dan Yung Tsun Ho yang terlebih melintasi garisan penamat di Velodrom Izu, Shizuoka dengan catatan masa 43.507s.
Sementara itu, pingat emas menjadi milik China menerusi barisan pelumba Jin Zhiheng, Liu Qi dan Li Zhiwei dengan rekod 42.152s mengalahkan trio Jepun, Kaiya Ota, Kanata Takahashi dan Minato Nakaishi (42.511s).
Catatan masa oleh China itu turut menyaksikan rekod temasya dipecahkan buat kali kedua selepas mereka memecahkan rekod terdahulu menerusi catatan masa 42.348s pada pusingan pertama.
Sebagai perbandingan, trio berbasikal trek lelaki merangkumi Fadhil Zonis, Umar Hasbullah dan Ridwan Sahrom berhasil membawa pulang pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menewaskan Chinese Taipei.