Man City Langgar Peraturan Kewangan – PL

September 30, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Badan penganjur saingan liga bola sepak tertinggi Inggeris iaitu Liga Perdana (PL) mengesahkan Manchester City (Man City) didapati bersalah melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan yang ditetapkan liga berkenaan sepanjang tempoh sembilan musim.

Bukan itu sahaja, kelab berjulukan The Cityzen itu turut bersalah atas tiga daripada empat pertuduhan berkaitan kegagalan mereka memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh liga.

Menerusi satu kenyataan, PL mendedahkan Suruhanjaya Bebas mendapati Man City mengatur kontrak ‘palsu’ dengan beberapa rakan komersial bagi ‘meningkatkan’ pendapatan kelab dan mengurangkan kos lebih £900 juta (RM4.8 bilion) antara musim 2009-10 dan 2017-18.

Suruhanjaya mendapati Man City mengatur perjanjian komersial yang menyaksikan syarikat-syarikat terbabit hanya perlu membayar sebahagian daripada jumlah penajaan yang dipersetujui.

Baki bayaran pula dibiayai oleh Abu Dhabi Group Investment and Development (ADUG) milik Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan yang juga pemilik Man City.

Beberapa aturan lain yang dibiayai ADUG turut membolehkan Man City merekodkan perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jumlah sebenar yang ditanggung.

Kesannya, kelab itu menyerahkan penyata kewangan salah nyata dan menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya daripada juruaudit dan pengawal selia bola sepak sekaligus melanggar kedua-dua had perbelanjaan yang ditetapkan PL dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Memandangkan pertuduhan ini telah dibuktikan, hukuman kepada Man City akan dikenakan dalam pendengaran selanjutnya bersama Suruhanjaya. 

Man City mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan sehingga 2hb Oktober (waktu United Kingdom).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd