Gelanggang Rasmi Kuching City Berkapasiti 17,584 Penonton, Tempat Duduk Bernombor
Hafiz Omar

Stadium Taha Ariffin yang merupakan gelanggang rasmi bagi kelab Liga Super, Kuching City FC kini mempunyai tempat duduk tunggal (single seater) bernombor dengan kapasiti sebanyak 17,584 penonton.
Pembaharuan itu hadir selepas stadium berkenaan dinaiktaraf bagi melepasi Peraturan Stadium Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya gelanggang berkenaan dapat dijadikan venue buat Kuching City beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini.
Pengerusi Eksekutif Kuching City merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, YB Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman berkongsi sendiri pembaharuan stadium berkenaan dalam satu sidang media, pada Rabu.
Dalam sidang media yang sama, Fazzrudin memaklumkan perlawanan persahabatan menentang Sabah FC pada 1hb Oktober akan dijadikan sebagai sesi percubaan untuk mempratiskan kemudahan sistem tempat duduk bernombor.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, kelab berjulukan The Cats itu akan melaksanakan sistem blok dan sektor terlebih dahulu bagi membiasakan para penyokong dan penonton sebelum menggunakan sistem tempat duduk bernombor dalam saingan ACL2.
Pendekatan terbabit diambil bagi memastik perjalanan hari perlawanan dalam saingan antarabangsa kelak lebih tersusun di Stadium Taha Ariffin atau nama lamanya, Stadium Negeri.
Tambah Fazzrudin, stadium berkenaan telah menerima kelulusan bersyarat daripada AFC serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah mengadakan lawatan tapak pada 23hb September lalu.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang diselesaikan melibatkan sistem lampu limpah dan bilik penyiaran serta keperluan kecil dalam masa terdekat.
Sebagai tambahan, naik taraf Stadium Taha Ariffin turut merangkumi bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat, bilik pengadil serta bilik pegawai perlawanan serta penambahbaikan surau, tandas dan aspek keselamatan penonton.
FEATURED IMAGE: Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS