Sukan Asia: Malaysia Selangkah Pertahan Emas Skuasy Berpasukan Wanita

October 1, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Skuad skuasy wanita negara semakin hampir untuk mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan wanita temasya Sukan Asia.

Perkembangan itu hadir selepas Malaysia berjaya menumbangkan skuad tuan rumah iaitu Jepun menerusi skor 2-0 sekaligus mengesahkan tempat ke perlawanan perebutan pingat emas yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.

Malaysia merakamkan pendahuluan 1-0 menerusi pemain No.5 dunia, Sivasangari Subramaniam yang bertarung sengit sebelum mengalahkan Satomi Watanabe, penghuni ranking ke-6 dunia, menerusi skor 5-11, 11-7, 6-11, 11-6 dan 11-3 dalam masa 33 minit.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by World Squash (@worldsquashofficial)

Susulan pendahuluan itu, Malaysia hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mengesahkan kemenangan pada peringkat separuh akhir dan perkara tersebut direalisasikan dengan sempurna oleh pemain No.23 dunia, Aira Azman.

Pemain berusia 22 tahun itu turun dengan penuh keyakinan dan beraksi cemerlang mengetepikan Akari Midorikawa menerusi menerusi skor 11-8, 11-5 dan 11-3 dalam masa 17 minit. 

Kemenangan itu membawa Malaysia bertemu Hong Kong untuk merebut pingat emas pada edisi kali ini. Untuk makluman, Hong Kong mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Pakistan 2-1.

Pada edisi lalu yang berlangsung di Hangzhou, Malaysia muncul juara selepas mengalahkan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir – menamatkan kemarau emas dalam acara terbabit sejak tahun 2010.

FEATURED IMAGE: Squash Racquets Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd