Isu Masa Tambahan Indonesia-Bangladesh, FAM Tuntut Penjelasan FIFA

October 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menuntut penjelasan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap isu perubahan masa tambahan yang berlaku ketika perlawanan Indonesia dan Bangladesh malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu menyaksikan tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit.

Pertambahan masa itu membolehkan Indonesia bimbingan John Herdman mengalahkan Bangladesh menerusi skor 9-2 sekaligus muncul juara Kumpulan A bagi Divisyen 1 dan meraih tiket ke perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA 2026.

FAM menerusi satu kenyataan pada hari ini memaklumkan memohon secara rasmi kepada FIFA bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.” 

“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.”

“FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.” tulis kenyataan oleh badan induk bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, FAM menegaskan permohonan ini tidak bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan mana-mana pasukan sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.

Susulan daripada keputusan perlawanan Indonesia dan Bangladesh pada malam tadi, Malaysia yang membelasah Singapura 6-0 terpaksa akur bergelar naib juara Kumpulan B dan ke perlawanan penentuan tempat ketiga.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd