RTM Siar Perlumbaan F1 Di Sepang Secara Langsung – PM Anwar
Hafiz Omar
Peminat perlumbaan Formula 1 (F1) dan rakyat Malaysia yang tidak dapat turun untuk menyaksikan perlumbaan Bahrain Grand Prix (GP) di Litar Antarabangsa Sepang dapat menyaksikannya menerusi saluran televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bahrain GP di Sepang dijadualkan berlangsung bermula 2hb hingga 4hb Oktober 2026.
Perkembangan itu hadir selepas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan RTM menyiarkan secara langsung perlumbaan terbabit bermula sesi latihan bebas (Jumaat dan Sabtu), pusingan kelayakan (petang Sabtu) dan perlumbaan (Ahad).
“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama.”
Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama.
Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok… pic.twitter.com/cUzPjkoWXV
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) October 2, 2026
“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang.” tulis Anwar menerusi akaun media sosialnya.
Pada saat ini, Andrea Antonelli dan Geoge Russell dari Mercedes-AMG Petronas F1 Team mengungguli dua tangga teratas carta kedudukan pemandu dengan 302 dan 236 mata masing-masing selepas berlangsungnya 16 perlumbaan musim ini.
Di tangga ketiga pula adalah Lewis Hamilton dari Scuderia Ferrari HP Formula 1 dengan 199 mata.
Sementara itu, dalam siaran media yang berasingan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman oleh Anwar mengenai siaran langsung perlumbaan F1 oleh RTM.
KBS melihat pengumuman itu bukan sahaja memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama merasai kemeriahan dan debaran perlumbaan berprestij dunia terbabit bahkan berupaya menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan permotoran khususnya dalam kalangan generasi muda.