Sukan Asia: Malaysia Raih Emas Ke-7 Menerusi Skuasy Berpasukan Wanita
Hafiz Omar
Kontinjen Malaysia menambah satu lagi kilauan pingat emas di temasya Sukan Asia 2026 apabila skuad skuasy wanita negara menjuarai acara skuasy berpasukan, sebentar tadi.
Malaysia muncul juara dengan menewaskan Hong Kong dalam perlawanan akhir di Arena Nagoya Kinjo Futo sekaligus mempertahankan kilauan emas yang dimenangi pada Sukan Asia Hangzhou 2022.
Kemenangan itu bermula dengan pemain No.21 dunia, Aifa Azman menyumbang mata pertama susulan menewaskan Ho Tze Lok menerusi skor 11-9, 11-9 dan 12-10 pada pertarungan pertama.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, Malaysia cemas seketika apabila ayam tambatan merangkap pemain No.5 dunia, Sivasangari Subramaniam mengalami kekalahan mengejutkan di tangan Chan Sin Yuk menerusi skor 7-11, 11-9, 11-9, 5-11 dan 7-11 pada pertarungan kedua.
Kekalahan itu menyaksikan Hong Kong berhasil mengikat Malaysia 1-1 dan berhasil mengheret skuad negara ke pertarungan ketiga untuk menentukan pemenangnya.
Namun begitu, Aira Azman, perseorangan No.23 dunia, menjadi wira buat Malaysia apabila beraksi cemerlang menewaskan Lee Ka Yi menerusi skor 11-9, 11-5 dan 11-4 sekaligus menoktahkan pertarungan dengan keputusan 2-1.
Sebagai tambahan, kem skuasy kini telah menyumbang tiga emas buat Kontinjen Malaysia selepas Ng Eain Yow dan Sivasangari mengungguli acara perseorangan lelaki dan wanita masing-masing.
FEATURED IMAGE: Squash Racquets Association of Malaysia