Sukan Asia: The Pocket Rocketman Sumbang Emas Ke-8
Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia kini sudah memungut lapan pingat emas di temasya Sukan Asia 2026 – melebihi dua keping emas berbanding sasaran enam emas yang ditetapkan.
Pertambahan terbaru itu hadir daripada Velodrom Izu, Shizuoka menerusi jaguh berbasikal trek negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang, 38 tahun, dalam acara keirin lelaki.
Kilauan emas itu menjadi milik Azizul atau julukan tersohornya, The Pocket Rocketman selepas memintas pelumba China, Li Zhiwei dengan penuh epik pada saat-saat akhir perlumbaan.
Berdasarkan keputusan rasmi, Azizul menamatkan perlumbaan dalam masa 10.330 saat (s) mengatasi Zhiwei yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.348s – perbezaan tipis 0.018s sahaja.
Zhiwei terpaksa akur mengutip pingat perak daripada perlumbaan ini.
Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik rakan senegara Zhiwei iaitu Xie Han – melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.547s.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Azizul merangkul emas dalam acara keirin di Sukan Asia selepas membutirkannya buat julung kalinya pada edisi 2010 (Guangzhou) diikuti edisi 2018 (Jakarta-Palembang).
Terdahulu, Azizul turut memungut pingat gangsa daripada temasya kali ini dalam acara pecut individu.
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia