Tan Cheng Hoe Serah Kepada FAM Buat Keputusan

October 6, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Ketua jurulatih “interim” pasukan bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) samada untuk terus menggunakan khidmatnya atau tidak.

Cheng Hoe yang dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Peter Cklamovski berhasil menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selepas menumpaskan Vietnam 1-0 pada Isnin.

Kemenangan itu menjelma susulan penyudah pemain gantian, Fergus Tierney pada minit ke-62 sekaligus menoktahkan kemarau kemenangan selama 12 tahun bertemu Vietnam sejak tahun 2014. 

“Macam posisi saya, saya serah kepada FAM untuk buat keputusan. Selagi saya mampu, saya akan curahkan segala penat lelah kita kepada pasukan kebangsaan.” katanya selepas sidang media selepas perlawanan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Malaysia National Team (@malaysia_nt)

Selain meraih tempat ketiga, Cheng Hoe berjaya membimbing skaud berjulukan Harimau Malaya mengharungi kempen Piala ASEAN FIFA dengan rekod tanpa kalah serta tanpa bolos.

Sebelum ini, Cheng Hoe turut membimbing Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026. 

Sebagai rekod, Cheng Hoe yang pernah membimbing Harimau Malaya dari 2017 hingga 2021 dilantik sebagai pengendali “interim” sekitar penghujung Jun lalu selepas FAM menamatkan kontrak Cklamovski.

Menurut FAM, Cheng Hoe pada ketika itu berperanan sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan dipilih berdasarkan pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam terhadap lanskap bola sepak tanah air.

Sekitar pertengahan September lalu, Dato’ Ab Ghani yang dipilih sebagai presiden baharu FAM memberikan peluang terlebih dahulu kepada Cheng Hoe untuk membuktikan keupayaannya sebelum membincangkan pelantikan ketua jurulatih baharu.

FEATURED IMAGE: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd