Ranking FIFA: Malaysia Panjat 3 Anak Tangga
Hafiz Omar

Kejayaan skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa sebarang kekalahan membawa kepada peningkatan tiga anak tangga dalam Ranking Dunia.
Biarpun terpaksa akur menamatkan saingan itu di tempat ketiga, Malaysia yang melakar kemenangan ke atas Bangladesh, Singapura, Vietnam serta seri dengan Indonesia kini berada di tangga ke-133 dunia.
Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada Rabu.
Untuk makluman, Malaysia bimbingan ketua jurulatih “interim”, Tan Cheng Hoe berada di situ dengan pengumpulan 1,102.09 mata.
Sementara itu, kemaskini yang sama menyaksikan Thailand kekal sebagai pasukan No.1 kalangan negara-negara ASEAN dengan menghuni tangga ke-93 dunia – meningkat satu anak tangga berbanding kedudukan lalu.
Vietnam pula kekal di tangga ke-99 dan diikuti Indonesia merangkap juara Piala ASEAN FIFA 2026 di tangga ke-116 dunia – naik dua anak tangga.
Manakala baki pasukan dari negara-negara ASEAN yang terdiri daripada Filipina, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos dan Brunei berada di tangga ke-136, ke-149, ke-159, ke-177, ke-188 dan ke-196 masing-masing.
FIFA menjadualkan kemaskini rasmi yang berikutnya pada 18hb November 2026.
FEATURED IMAGE: Farhan Alias / PPMH Active