Belanjawan 2027: Kerajaan Sediakan RM757 Juta Untuk Sukan
Hafiz Omar

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM757 juta secara keseluruhan untuk sukan negara.
Peruntukan itu dikongsikan Anwar ketika membentangkan Belanjawan Madani Kelima Tahun 2027 bertemakan Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi di Dewan Rakyat, pada hari ini.
Sebahagian daripada jumlah tersebut, sebanyak RM240 juta disediakan untuk tujuan persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Edisi ke-34 temasya Sukan SEA itu dijadualkan berlangsung bermula 18hb hingga 29hb September 2027 bertempat di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Sukan Para ASEAN pula akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula dari 17hb hingga 23hb Oktober 2027.
Manakala sebanyak RM460 juta pula diperuntukan bagi pelbagai tujuan pembangunan sukan negara seperti memperkasa program sukan berprestasi tinggi dan Road To Gold; program atlet para dan sukan orang pekak serta menyelenggara fasiliti sukan di seluruh negara.
Manakala Geran Padanan Sukan (GPS) yang bertujuan untuk menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) diberikan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Tidak ketinggalan, Anwar menyisipkan peruntukan sebanyak RM27 juta – tambahan sebanyak 50% – disediakan bagi aktiviti murid sekolah yang bakal memanfaatkan lebih 4.6 juta murid di 10,000 buah sekolah seluruh negara.
Sebagai perbandingan, Belanjawan 2026 yang lalu memperuntukkan sebanyak RM580 juta secara keseluruhan – peningkatan sebanyak RM150 juta.
Dibawakan oleh Luno Malaysia.