Ranking BWF: Zii Jia Naik 14 Anak Tangga
Hafiz Omar

Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia merekodkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia selepas berjaya mara sehingga separuh akhir Terbuka Artik 2026.
Berdasarkan kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, pemain berusia 28 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu meningkat 14 anak tangga sekaligus meletakkan di kedudukan ke-42 dunia bagi minggu ini.
Peningkatan itu turut memperlihatkan Zii Jia memintas kedudukan Justin Hoh yang kekal di tangga ke-45 dunia sekaligus meletakkan namanya sebagai perseorangan lelaki No.2 negara pada saat ini.
Pada Sabtu lalu, kempen Zii Jia di Terbuka Artik 2026 menemui titik noktahnya selepas tewas di tangan pemain No.1 Denmark merangkap rakan karibnya, Anders Antonsen pada peringkat separuh akhir.
Pertarungan itu berlangsung sengit sehingga memakan masa satu jam dan 18 minit sebelum Antonsen menoktahkannya menerusi skor 21-11, 15-21 dan 21-16.
Walaupun kempennya yang bermula dari pusingan kelayakan terhenti setakat separuh akhir, Zii Jia memaklumkan mengutip pelbagai perkara positif berdasarkan prestasinya di Jelajah Dunia BWF Super 500 terbabit.
Sementara itu, posisi perseorangan lelaki No.1 negara kekal milik Leong Jun Hao yang berada di tangga ke-30 dunia.
FEATURED IMAGE: VICTOR