Ranking BWF: Juara Terbuka Artik Langkau 232 Anak Tangga
Hafiz Omar
Kejayaan Aaron Tai dan Yap Roy King merangkul kejuaraan Terbuka Artik 2026 membolehkan mereka melangkau sebanyak 232 anak tangga dalam Ranking Dunia.
Peningkatan memberangsangkan itu menyaksikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang melakukan kemaskini meletakkan Aaron-Roy King di tangga ke-116 dunia, bermula hari ini.
Pada Ahad lalu, gandingan pemain berusia 19 dan 25 tahun masing-masing itu mucul juara di Jelajah Dunia BWF Super 500 selepas mengalahkan Lai Po Yu dan Tsai Fu Cheng dari Chinese Taipei pada perlawanan akhir.
Sebelum itu, gandingan baharu itu turut melakukan kejutan dengan mengalahkan beregu ternama Denmark iaitu Christian Kjær dan Rasmus Kjær pada peringkat separuh akhir.
Aaron-Roy King akan terus bergandingan pada minggu ini bagi menghadapi Terbuka Denmark 2026 – Jelajah Dunia BWF Super 750. Mereka akan memulakan kempen dengan menentang Kang Min-hyuk dan Lee Jong-min di pusingan 32.
FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia