300 Pelajar Pelbagai Latar Belakang Sertai Klinik STL Di SMK Seri Pantai
Hafiz Omar

Sekitar 300 pelajar melibatkan pelbagai latar belakang daripada 60 buah sekolah melibatkan empat daerah iaitu Bangsar, Pudu, Keramat dan Sentul hadir menyertai penganjuran sulung Klinik STL 2026 bagi musim ini di SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur pada Khamis.
Berbeza daripada penganjuran tahun lalu, Klinik STL kali ini yang berlangsung dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu turut melibatkan komuniti Orang Asli termasuk berbangsa Cina dan India serta etnik dan kaum dari Sabah dan Sarawak.
Tidak ketinggalan, penganjuran kali ini turut disertai pelajar wanita daripada Program Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR) sekaligus menjadikan sepak takraw sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan lebih inklusif serta memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Para pelajar yang menyertai Klinik STL terbabit turut mendapat peluang bertemu pemain KL Thunder dan skuad kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang turun untuk beramah mesra dan memberikan tunjuk ajar dalam sepak takraw.
Sementara itu, sesi latihan pula dikendalikan oleh Suhairi Sulaiman selaku Ketua Jurulatih Klinik STL merangkap bekas pemain kebangsaan.
Selepas ini, siri Klinik STL 2026 terbuka dijadualkan berlangsung di Perak (24hb Oktober), Melaka (14hb November), Negeri Sembilan (12hb Disember), Johor (19hb Disember) dan Selangor (9hb Januari).
Kesemua lokasi ini akan menjadi platform pemilihan bakat untuk menyertai Kem Final Klinik STL 2026 yang dijadualkan berlangsung bermula 13hb hingga 17hb Januari 2027 di Akademi Sepak Takraw Malaysia.