Kapten KRW FC Tuntut Rakan Sepasukan Kekal Berdisiplin, Buru Kemenangan Sulung Liga Super

October 16, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kapten Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Arham Khussyairi menuntut rakan sepasukannya menampilkan disiplin yang tinggi ketika bertemu Star City FC bagi memastikan kemenangan sulung dalam saingan Liga Super menjelma pada Jumaat.

Pemain berusia 25 tahun berkenaan menuntut komitmen berkenaan agar KRW FC dapat mengelakkan kesilapan mudah serta kekal fokus sepanjang 90 minit permainan.

Menurutnya, KRW FC telah melakukan persiapan rapi bagi memburu kemenangan sulung berkenaan termasuk mengadakan beberapa aksi pemanas badan semasa pertandingan domestik berehat selama tiga minggu, baru-baru ini.

“Persiapan pasukan berjalan seperti biasa dengan adanya beberapa perlawanan pemanas badan sebagai persediaan menentang Star City FC.”

“Kami perlu lebih fokus dalam setiap perlawanan dan mengekalkan fokus sehingga wisel penamat. Kita dah tengok dalam beberapa aksi lepas, kita banyak buat kesilapan mudah, dan kali ini kita perlu elak buat benda sama kerana perkara seperti itu boleh mengganggu momentum pasukan dan memerlukan kami bekerja lebih keras untuk kembali mengawal permainan,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan lawan, Arham mengakui Star City memiliki kelebihan daripada segi jumlah pemain import serta aspek fizikal. Namun begitu, pemain kelahiran negeri Terengganu itu tetap positif dan menganggap situasi itu tidak melemahkan semangat mereka untuk memberikan saingan menerusi taktikal yang telah dipersiapkan pengendali, Irfan Bakti. 

Sebagai rekod, KRW FC dan Star City belum merekodkan sebarang kemenangan setakat ini dan menghuni dua tangga tercorot Liga Super.

FEATURED IMAGE: Kelantan Red Warrior FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd