Sukan Para Asia: Lompatan 7.39m Latif Sumbang Emas Ketiga

October 20, 2026
Sukan Para

Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia menambah satu lagi kilauan pingat emas di Sukan Para Asia 2026 apabila Datuk Abdul Latif Romly berjaya mengungguli acara lompat jauh lelaki T20 pada Selasa.

Atlet berusia 29 tahun memenangi acara terbabit selepas melakukan lompatan terbaik sejauh 7.39 meter (m) pada percubaan ketiga. Sebelum itu, Latif merekodkan lompatan sejauh 6.94m pada percubaan kedua manakala empat lagi percubaan batal.

Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Latif merangkul pingat emas dalam acara itu empat kali berturut-turut di temasya Sukan Para Asia sejak edisi 2014 di Incheon, Republik Korea.

Sementara itu, pingat perak pula menjadi milik Hassan Dawshi dari Arab Saudi dengan lompatan terbaik sejauh 7.03m. Atlet tuan rumah, Kanta Kokubo pula meraih pingat gangsa hasil lompatan sejauh 6.98m.

Terdahulu, kontinjen negara telah memungut dua keping emas menerusi Zuhairie Ahmad Tarmizi (berbasikal trek para) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting para).

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd