Joel Cornelli Tinggalkan Malayan Tigress Selepas 17 Bulan
Hafiz Omar
Pengendali berasal dari Brazil, Joel Cornelli mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan bola sepak wanita kebangsaan sekaligus menoktahkan 17 bulan khidmatnya selaku ketua jurulatih skuad berjulukan Malayan Tigress itu.
Cornelli mengumumkan perpisahan itu menerusi akaun media sosial rasminya sambil merakamkan penghargaan ikhlas kepada Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin, Datuk Noor Azman Rahman, Dato’ Suraya Yaacob, Soleen Al-Zoubi serta Syahidah Nurashikin Samshool.
“Sepanjang tempoh itu, kami telah bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen, disamping memulakan proses penting pembaharuan skuad dengan kehadiran pemain-pemain baharu, membina asas untuk pembangunan pasukan di masa hadapan,” tulisnya.
View this post on Instagram
“Penghargaan kepada semua pemain, staf kejurulatihan, dan semua orang yang berkongsi perjalanan ini bersama-sama saya,”
“Saya meninggalkan (pasukan) dengan pengalaman yang berharga, kenangan yang berpanjangan, dan kepuasan memberikan yang terbaik dengan penuh profesionalisme, penghormatan, dan keghairahan terhadap sukan ini,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Cornelli dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress bermula pertengahan Mei 2025.
Antara kejohanan yang dihadapi Malayan Tigress di bawah kendalian Cornelli adalah Kelayakan Piala Asia Wanita AFC, Sukan SEA 2025, Piala Wanita AFF 2026 serta beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.
FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia