Sukan Para Asia: Ziyad, Aliff Bawa Pulang Perak & Gangsa Acara Lontar Peluru

October 23, 2026
Sukan Para

Hafiz Omar

Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas peluang untuk merangkul pingat emas kali keempat berturut-turut dalam acara lontar peluru lelaki F20 di temasya Sukan Para Asia.

Ia susulan lontaran terbaik sejauh 16.61 meter (m) dilakukan atlet berusia 36 tahun berkenaan dicantas oleh atlet Arab Saudi, Bader Ali, 21 tahun, yang merekodkan lontaran 17.08m – rekod baharu temasya.

Keputusan itu menyaksikan Ziyad terpaksa berpuas hati dengan kepingan perak sementara kilauan emas menjadi milik Bader.

Dalam lima percubaan yang lain, Ziyad merekodkan lontaran sejauh 16.0m, 15.81m, 16.56m, 16.22m dan 16.1m. 

Dalam tiga edisi Sukan Para Asia yang lalu, Ziyad mengungguli acara lontar peluru lelaki F20 dengan merekodkan lontaran sejauh 15.31m, 16.94m dan 16.65m pada edisi 2014, 2018 dan 2022 masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi atlet lontar peluru para negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi, 29 tahun, turut menaiki podium dan meraih gangsa hasil melakukan lontaran terjauhnya iaitu 14.45m pada percubaan keempat.

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd