Fenerbahce Umum Dirk Kuyt Sebagai Pengendali Sementara
Hafiz Omar

Kelab tangga kelima Liga Turki, Fenerbahce mengumumkan legenda Liverpool iaitu Dirk Kuyt sebagai pengendali sementaranya bagi menggantikan Ismail Kartal yang meletakkan jawatan pada Selasa.
Pengumuman Kuyt, 46 tahun, itu hadir menerusi satu pengumuman menerusi akaun media sosial rasmi kelab berjulukan Sarı Kanaryalar itu pada Rabu. Difahamkan, Fenerbahce akan menggunakan khidmat Kuyt sehingga pengendali baharu ditentukan.
Kuyt bukanlah nama yang asing buat peminat dan penyokong Fenerbahce. Selepas meninggalkan Liverpool pada 2012, Kuyt meneruskan kariernya selaku pemain bersama kelab berpangkalan di Istanbul itu sehingga 2015.
Kehadiran Kuyt pada ketika itu telah membantu Fenerbahce meraih tiga piala iaitu Piala Turki, Liga Turki dan Piala Super Turki.
Selepas bersara sebagai pemain bola sepak profesional pada 2017, Kuyt mula berkecimpung dalam bidang kejurulatihan dengan melatih skuad bawah 19 tahun (B-19) Feyenoord pada 2018.
Selepas itu, Kuyt mendapat tugas sulung selaku ketua jurulatih bagi skuad senior bersama ADO Den Haag pada 2022 diikuti Beerschot (2023) dan FC Dordrecht (2025).
Kuyt akan mengendalikan perlawanan pertama Fenerbahce menentang Goztepe dalam saingan Superlig pada Ahad (waktu Malaysia).
FEATURED IMAGE: Fenerbahce