Terbuka AS: Sivasangari Buat Perhitungan Dengan Pemain No.1 Dunia
Hafiz Omar

Pemain No.1 dunia dari Mesir, Amina Orfi menjadi lawan seterusnya buat perseorangan skuasy wanita negara iaitu Sivasangari Subramaniam di peringkat suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2026.
Sivasangari, 27 tahun, kelahiran Sungai Petani bertembung Amina selepas mengetepikan Kenzy Ayman yang juga dari Mesir dengan mudah menerusi skor 11-3, 11-7 dan 11-3 dalam masa 21 minit pada pusingan kedua, pagi tadi (waktu Malaysia).
Sementara itu, Amina pula mara susulan menumpaskan rakan senegaranya, Hana Moataz menerusi skor 11-4, 11-0 dan 11-9 dalam masa 37 minit.
Melihat kepada rekod pertemuan, Sivasangari dan Amina sudah pernah bertembung sebanyak 11 kali di pelbagai kejohanan antarabangsa dengan lapan kemenangan berpihak kepada pemain berusia 19 tahun berkenaan.
Ini termasuk pertemuan terakhir mereka di saingan Skuasy Klasik London 2026 yang berlangsung September lalu dimana Amina melakar kemenangan menerusi skor 11-8, 11-9 dan 11-6 pada peringkat separuh akhir.
Pertarungan Amina dan Subramaniam untuk merebut slot separuh akhir itu dijadualkan pada jam 7 pagi (5hb November) waktu Malaysia.
FEATURED IMAGE: PSA Squash Tour