AFC Tunda Piala Asia 2027
Hafiz Omar

Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung 7hb Januari hingga 5hb Februari kelak ditangguhkan penganjurannya ke tarikh 23hb Disember 2027 hingga 21hb Januari 2028.
Pengesahan perubahan tarikh penganjuran itu hadir selepas perbincangan dan rundingan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Piala Asia 2027 bersama Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menerusi satu kenyataan oleh penganjur merangkap badan induk bola sepak Asia di laman sesawangnya pada hari ini, keputusan itu diambil susulan ketegangan semasa di rantau Asia Barat yang mengancam keselamatan serta menyebabkan gangguan terhadap perjalanan dan logistik.
AFC menegaskan penundaan ini merupakan keperluan demi kepentingan semua pasukan yang bertanding, para pegawai, penonton dan pemegang taruh yang lain.
Sementara itu, Arab Saudi kekal sebagai tuan rumah edisi ke-19 kejohanan terbabit membabitkan lapan buah venue terdiri daripada King Abdullah Sports City Stadium, Al Khobar Stadium, Prince Abdullah Al Faisal Sports City Stadium, King Saud University Stadium, Kingdom Arena, Imam Mohamed Ibn Saud Islamic University Stadium dan Al Shabab Club Stadium.
Saingan Piala Asia berkenaan turut disertai empat pasukan dari rantau Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura. Malaya pula gagal mara selepas dikenakan hukuman pemotongan 6 mata sekaligus gagal muncul juara Kumpulan F dalam pusingan akhir kelayakan.