SHAKAM: The Pocket Rocketman Bawa Pulang RM180,000

November 3, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Jaguh basikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang mendapat ganjaran berjumlah RM180,000 hasil daripada meraih dua pingat emas dan satu gangsa daripada temasya Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.

Azizul atau terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” memperoleh ganjaran lumayan itu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai penghargaan mengharumkan nama Malaysia di temasya antarabangsa yang berlangsung sepanjang tahun ini.

Secara pecahannya, Azizul diberikan RM160,000 bagi kejayaan membutirkan dua pingat emas sementara RM20,000 pula susulan meraih sebutir gangsa – ganjaran tertinggi diraih atlet Malaysia bagi tahun ini.

Ganjaran itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari dalam Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2026 yang berlangsung di Courtyard By Marriott Kuala Lumpur South pada Selasa.

Dalam majlis yang sama, atlet para olahraga, Datuk Abdul Latif Romly muncul sebagai atlet kedua meraih ganjaran tertinggi iaitu sebanyak RM160,000 hasil mengutip dua emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Latif, 29 tahun, mengutip kilauan emas itu hasil mengungguli acara lompat jauh lelaki T20 di kedua-dua temasya.

Selain daripada ganjaran wang tunai, Azizul dan Latif turut diberikan penghargaan khas hasil mengutip dua emas daripada kedua-dua temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia/Sukan Para Asia.

Atlet-atlet negara yang merangkul emas (RM80,000), perak (RM40,000) serta gangsa (RM20,000) turut diraikan dan diberikan ganjaran masing-masing termasuk habuan melakar rekod kejohanan (RM10,000). Tidak ketinggalan, jurulatih yang membimbing para atlet sehingga berjaya mengutip sebarang warna pingat turut diberikan insentif sebanyak 20% daripada jumlah yang diterima oleh anak buahnya.

Secara keseluruhannya, SHAKAM menyalurkan ganjaran sebanyak RM4.26 juta dimana RM3.55 juta adalah kepada atlet sementara RM710,000 kepada para jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

FEATURED IMAGE: KBS Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd