Cheng Hoe Tak Panggil Pemain JDT Lawan China, Yaman
Hafiz Omar
Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan antarabangsa tier 1 bertemu China dan Yaman pada 14hb dan 17hb November masing-masing tanpa kelibat pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkembangan ini hadir selepas ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe tidak menyenaraikan sebarang pemain JDT dalam senarai 24 pemain untuk menyertai kem latihan pusat yang berlangsung dari 9hb hingga 17hb November kelak.
Senarai itu menyaksikan Cheng Hoe mengekalkan 11 pemain daripada 23 pemain yang meraih tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 pada 25hb September hingga 5hb Oktober lalu.
Sementara itu, tiga pemain daripada skuad Piala Hyundai ASEAN 2026 yang berlangsung pada Julai dan Ogos lalu dipanggil semula selain 10 pemain lain termasuk dua pemain baharu iaitu Haziq Kutty (Terengganu FC) dan A. Selvan (Selangor FC).
Bukan itu sahaja, 15 pemain yang diletakkan dalam Senarai Bersedia untuk dipanggil sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam senarai pemain utama juga tidak melibatkan pemain-pemain JDT.
Untuk makluman, 24 pemain yang dipanggil akan berkumpul dan melaporkan diri pada 9hb November (Isnin) sebelum berlepas ke China pada 10hb November (Selasa).
Kedua-dua perlawanan bertemu China dan Yaman bakal berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong dengan sepak mula jam 8 malam dan 2 petang masing-masing.
FEATURED IMAGE: Malaysia NT