Terbuka Korea: Beregu No.2 Dunia Uji Pang Ron-Pei Jing

November 5, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing yang merekodkan kemaraan sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan yang disertai bakal diuji oleh beregu No.2 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.

Kedua-dua pasangan itu bakal bertembung di peringkat suku akhir untuk merebut tiket separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan pada pusingan 16 di Terbuka Korea 2026, hari ini.

Pang Ron-Pei Jing yang menghuni tangga ke-15 dunia mara selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Jin Sung-ik dan Lee Seung-hee dengan bergaya 21-8 dan 21-15 dalam masa 32 minit.

Sementara itu, lawannya dari China melangkah ke peringkat yang sama selepas mengalahkan Haruki Kawabe dan Kokona Ishikawa dari Jepun menerusi skor 21-11 dan 21-18 dalam masa 28 minit. 

Sebelum ini, Pang Ron-Pei Jing pernah berentap dengan Zhen Bang-Ya Xin sebanyak satu kali di Terbuka Macau 2026. Ianya berakhir dengan Zhen Bang-Ya Xin meraih kemenangan menerusi skor 21-11 dan 24-22.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd