Ganjaran SHAKAM Atlet Berpasukan Dinaikkan Kepada RM40,000 Seorang

November 11, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet berpasukan yang meraih emas di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia atau Sukan Para Asia pada tahun 2026 serta edisi-edisi mendatang akan mendapat ganjaran wang tunai sebanyak RM40,000 bagi setiap seorang berkuat-kuasa pada hari ini.

Perkembangan itu hadir selepas pihak Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk menaikkan ganjaran tersebut sebanyak 166.67% daripada ganjaran asal – RM15,000 seorang.

Perkara terbabit diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari sambil memaklumkan penambahbaikan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 10hb November lalu.

Kenaikan turut diberikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa daripada sukan berpasukan yang diraih daripada temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia/Para Asia.

Pemenang pingat perak akan menerima RM20,000 seorang (kenaikan daripada RM8,000) manakala pingat gangsa pula mendapat RM10,000 seorang (kenaikan daripada RM4,000).

Pengumuman ini menyaksikan skuad sepak takraw (emas regu berpasukan dan perak regu), skuasy (emas berpasukan lelaki dan wanita), hoki (perak lelaki), berbasikal trek (perak pecut berpasukan wanita), karate (gangsa kata berpasukan lelaki) dan e-sukan (perak Honor of Kings serta gangsa Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang) akan mendapat bayaran tambahan sepertimana diumumkan.

Terdahulu, atlet-atlet terbabit telah mendapat ganjaran menerusi SHAKAM pada kadar yang lama dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara pada 3hb November lalu. 

Sebagai rekod, Taufiq mendedahkan kali terakhir kerajaan melakukan semakan ganjaran SHAKAM bagi atlet berpasukan adalah pada tahun 2002 – 24 tahun yang lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd