Penganjur Lancar Portal Rasmi Sukan SEA 2027
Hafiz Omar

Persiapan Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 semakin rancak dengan penganjur tampil melancarkan portal atau laman sesawang rasmi temasya yang boleh dilawati menerusi pautan www.seagamesmalaysia2027.org
Portal terbabit dilancarkan bagi membolehkan penyampaian maklumat yang lebih tersusun, pantas, mudah diakses dan bersepadu kepada atlet, pegawai, kontinjen, persatuan sukan, media, sukarelawan, peminat dan seluruh masyarakat di rantau ini.
Ia bakal menjadi pusat rujukan digital bagi kedua-dua temasya berkenaan terutamanya jadual, venue pertandingan, senarai sukan yang dipertandingkan, keputusan dan carta kutipan pingat.

Pelancaran portal itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari dalam satu majlis yang berlangsung di Media Corner Sekretariat MASOC, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN).
Sebagai tambahan, portal terbabit turut menghidangkan berita semasa mengenai temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN dan disajikan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Untuk makluman, Sukan SEA kali ini akan mempertandingkan 43 jenis sukan melibatkan empat kluster yang terdiri daripada Kuala Lumpur (KL), Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Pada masa yang sama, Dr. Taufiq turut memberi jaminan bahawa portal terbabit selamat dan senang untuk diakses selain tidak mudah digodam.