Sukan SEA: TIEP Venue Baharu Acara Ekuestrian Endurance
Hafiz Omar

Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Setiu, Terengganu yang mempunyai fasiliti lengkap dan pengalaman menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa dipilih sebagai venue baharu bagi acara ekuestrian endurance pada Sukan SEA ke-34.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan selepas penelitian menyeluruh bersama jawatankuasa berkaitan bagi memastikan lokasi pertandingan memenuhi keperluan penganjuran temasya berkenaan.
“Selepas menilai dan meneliti bersama jawatankuasa secara keseluruhannya, suka untuk saya umumkan bahawa lokasi untuk endurance (berkuda) tahun hadapan ditetapkan di negeri Terengganu,” katanya.
Pemilihan TIEP dilihat sebagai langkah strategik berikutan venue berkenaan memiliki kemudahan lengkap merangkumi kandang kuda, pusat kuarantin, klinik kuda, makmal doping serta trek endurance sepanjang 160 kilometer yang sentiasa diselenggara.
Malah, kemudahan Field of Play (FOP) di TIEP turut menyediakan kawasan flag-off, kawalan veterinar dan laluan trotting dengan kapasiti menempatkan sehingga 230 ekor kuda bagi memenuhi keperluan teknikal pertandingan.
Pengalaman TIEP menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk Sultan Mizan Cup serta menjadi venue rasmi Sukan SEA ke-29 pada 2017 turut mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaannya mengendalikan acara berkenaan.
Pada masa yang sama, pertukaran venue itu juga mengambil kira aspek penjimatan dan kecekapan penggunaan sumber apabila TIEP mampu memanfaatkan kemudahan sedia ada, sekali gus mengurangkan keperluan kerja pembangunan serta penaiktarafan tambahan yang lebih besar.