Masters Kumamoto: Beregu No.2 Dunia Singkir Pang Ron-Pei Jing 

November 12, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing tewas sekali lagi di tangan beregu No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.

Selepas Zhen Bang-Ya Xin menyingkirkan mereka di peringkat suku akhir Terbuka Korea 2026 pada minggu lalu, pasangan berusia 28 dan 34 tahun masing-masing berkenaan mengulangi episod yang sama pada pusingan 16 di Masters Kumamoto Jepun 2026, pada hari ini.

Dalam pertarungan itu, Zhen Bang-Ya Xin turut mengulangi kemenangan dua set berturut-turut dengan mengalahkan Pang Ron-Pei Jing menerusi skor 21-12 dan 21-19 dalam masa 32 minit.

Keputusan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing kini mengalami tiga kekalahan berturut-turut di tangan Zhen Bang-Ya Xin sejak bertemu buat julung kalinya di Terbuka Macau 2026 pada Jun lalu.

Sementara itu, Zhen Bang-Ya Xin yang melakar kemenangan sebentar tadi mengesahkan tempatnya di peringkat suku akhir Jelajah Dunia BWF Super 500 berkenaan.

Aksi seterusnya, juara Terbuka Korea 2026 itu akan berhadapan rakan senegaranya merangkap pilihan kelima kejohanan, Cheng Xing dan Zhang Chi.

FEATURED IMAGE:  Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd