Masters Kumamoto: Wei Chong-Kai Wun Kandas

November 12, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun nampaknya terpaksa akur menamatkan kempen Masters Kumamoto Jepun 2026 setakat pusingan 16.

Pasangan yang menjuarai Terbuka Perancis 2026 sekitar dua minggu lalu itu gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir susulan tewas di tangan Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.

Biarpun Wei Chong-Kai Wun turun ke gelanggang selaku pilihan kelapan kejohanan serta pasangan No.9 dunia, Daniel-Mads yang berada di tangga ke-14 dunia ternyata mempunyai perancangan yang lebih rapi, pada hari ini.

Dalam aksi terbabit, Daniel-Mads berhasil mengejutkan Wei Chong-Kai Wun secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-15 dan 21-18 dalam masa 34 minit sekaligus meloloskan diri ke suku akhir.

Keputusan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Daniel-Mads selepas tewas di Masters China 2024 menerusi skor 19-21, 21-19 dan 21-17 dalam masa 66 minit.

Sementara itu, Daniel-Mads yang mara ke suku akhir akan membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah, Hiroki Okamura dan Kyohei Yamashita. 

Hiroki-Kyohei meraih tiket suku akhir susulan menyingkirkan Chiu Hsiang-chieh dan Wang Chi-lin dari Chinese Taipei menerusi skor 19-21, 21-19 dan 21-9 dalam masa 57 minit.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd