Kerajaan Tanggung Kos Rawatan Hafizuddin, Elaun Latihan Diteruskan – Menteri Belia & Sukan

November 18, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang terbabit dengan kemalangan jalan raya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Kos tersebut turut merangkumi rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga pemenang pingat emas angkat berat kategori 88 kilogram (kg) di Sukan Komanwel 2026 itu dibenarkan keluar hospital.

Perkara tersebut disahkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari selepas menziarahi atlet yang bakal menginjak usia 22 tahun berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada hari ini.

Menerusi satu kenyataan media, Dr. Taufiq memaklumkan Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000. 

Selain itu, Hafizuddin juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam PERKESO. Berdasarkan anggaran PERKESO, beliau akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit, diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup, serta bayaran pukal sekaligus sebanyak RM39,060.58. 

Antara lain, atlet kelahiran Perlis itu juga layak menerima Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

Pada masa yang sama, Taufiq turut memaklumkan MSN turut menyediakan penginapan dan makan di Casa MSN atau lokasi yang difikirkan sesuai buat keluarga Hafizuddin yang menemaninya sepanjang tempoh rawatan di HKL.

Pada Isnin, Hafizuddin terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil melalui Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), demikian perkongsian oleh Majlis Sukan Negeri Perlis.

Dalam kejadian itu, Hafizuddin dipercayai terbabas daripada motosikal sehingga mengalami kecederaan serius khususnya pada bahagian bahu kanan.

Pemeriksaan pihak perubatan mendapati Hafizuddin mengalami kecederaan patah tulang tangan dan komplikasi serius apabila salur darah pada bahagian tersebut tidak lagi berfungsi selain kecederaan kecil pada bahagian kepala. 

Keadaan itu memaksa Hafizuddin menjalani pembedahan dan atas saranan doktor tangan kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.

FEATURED IMAGE: KBS Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd