DPMM FC Umum Bakal Tandatangani Holgado, MFL Beri Lampu Hijau

November 19, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang kelahiran Argentina yang mempunyai pasport Malaysia, Rodrigo Holgado bakal mewarnai kancah Liga Malaysia dengan menyertai DPMM FC.

Perkara tersebut diumumkan sendiri penghuni tangga keempat Liga Super berkenaan menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya, pada Rabu.

Dalam kenyataan itu, DPMM FC memaklumkan pihaknya mendapatkan kelulusan daripada badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) untuk mendaftarkan Rodrigo berikutan status sebagai pemain ejen bebas.

“Holgado akan menandatangani kontrak bersama DPMM FC dalam masa terdekat, sebelum dia berlepas untuk menyertai DPMM FC.” tulis kelab berkenaan.

Walaupun mendapat lampu hijau daripada MFL, terbit kekhuatiran mengenai tahap kecergasan Holgado berikutan tiada sebarang aksi bola sepak kompetitif selama setahun. 

Hal itu disebabkan penggantungan selama 12 bulan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang terpaksa dijalani Holgado susulan kes pemalsuan dokumen kelayakan.

Bagaimanapun, Holgado termasuk enam pemain lain terlibat dengan hukuman berkenaan telah bebas daripada penggantungan itu bermula 1hb November lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd