Juan Mata Gantung But Usia 38 Tahun

November 19, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Produk skuad pembangunan Real Madrid yang pernah menyarung jersi Valencia, Chelsea dan Manchester United iaitu Juan Mata mengumumkan menggantung but bola sepaknya pada usia 38 tahun.

Perkembangan itu hadir selepas pemain kelahiran Burgos, Sepanyol itu mengumumkan persaraannya secara rasmi menerusi video berdurasi 57 saat di akaun media sosialnya.

Video itu sekaligus menoktahkan perjalanan karier bola sepaknya yang berlangsung hampir dua dekad. Sepanjang tempoh itu, Mata yang cukup dikenali beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan pemain sayap merangkul pelbagai trofi samada peringkat domestik mahupun antarabangsa.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Juan Mata (@juanmatagarcia)

Antara koleksi trofi yang berhasil dimenanginya ialah Piala Dunia FIFA, EURO, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Liga Europa, Piala FA Inggeris, Piala Sepanyol, Piala Liga Inggeris, Perisai Komuniti Inggeris, Superlig Turki dan Liga J1 Jepun. 

Mata mengakhiri karier bola sepaknya bersama Melbourne Victory yang bersaing dalam Liga Australia. Musim terakhirnya bersama kelab itu menyaksikan Mata menghasil 13 bantuan gol dan lima gol.

Antara kelab lain yang pernah disertai Mata ialah Galatasaray, Vissel Kobe dan Western Sydney Wanderers.

Bersama pasukan kebangsaan Sepanyol, Mata yang meraih debutnya pada tahun 2009 ketika berusia 20 tahun dan 11 bulan berhasil merekodkan 41 penampilan termasuk beraksi di Piala Dunia 2010 & 2014 serta EURO 2012.

FEATURED IMAGE: Manchester United

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd