Pemain Lawan Tarik Diri, Sivasangari Juarai Terbuka China 2026

November 22, 2026
Skuasy

Hafiz Omar

Perseorangan wanita skuasy No.1 negara, Sivasangari Subramaniam mengesahkan gelaran juara di Terbuka China 2026 selepas lawannya, Satomi Watanabe menarik diri daripada perlawanan akhir, pada Ahad.

Penganjur memaklumkan pemain berusia 27 tahun dari Jepun yang turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan itu membuat keputusan menarik diri susulan masalah kesihatan.

Perkembangan itu memberikan kemenangan percuma yang membawa kepada Sivasangari meraih kejuaraan kedua di kejohanan bertaraf Gold bagi musim 2026-27 selepas menjuarai Terbuka Silicon Valley pada Oktober lalu. 

Terdahulu, Sivasangari mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Terbuka China selepas mempamerkan aksi yang bertenaga menundukkan Sin Yuk Chan dari Hong Kong menerusi skor 11-3, 11-5 dan 11-8.

Pada peringkat suku akhir pula, Sivasangari mudah mengetepikan cabaran pilihan kelapan dari Mesir, Farida Mahamed menerusi skor 11-6, 11-7 dan 11-6.

FEATURED IMAGE: PSA Squash Tour

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd