Trek Balapan KOMBES WP Labuan Terima Pengiktirafan World Athletics
Hafiz Omar

Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan yang diserahkan pada hari ini setelah projek naik taraf siap sepenuhnya mempunyai trek balapan yang diiktiraf secara rasmi oleh World Athletics (WA).
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan KOMBES WP Labuan memperoleh pengiktirafan Kelas 2 selepas pemeriksaan oleh perunding bertauliah yang diiktiraf WA sekaligus mengesahkan spesifikasi trek berkenaan memenuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan.
Penyerahan projek naik taraf KOMBES itu disempurnakan dalam satu majlis penyerahan yang turut diserikan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari diiringi Ketua Pengarah Jabatan Belian dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Azura Abidin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Mahanum Fauzi.

Keseluruh skop projek terbabit merangkumi bangunan (stadium, dewan serbaguna dan pembaikan struktur), kemudahan sukan (padang bola sepak, trek balapan dan pembaikan gelanggang) dan infrastruktur (menara tangki air, retikulasi air dan pagar perimeter).
Sebagai tanda penghargaan KBS kepada warga Labuan, kemudahan trek dan balapan di KOMBES Labuan akan dibuka untuk kegunaan secara percuma mulai 24hb November hingga 31hb Disember 2026 – tertakluk kepada jadual dan masa yang ditetapkan oleh JBSN WP Labuan.
Sementara itu, kemudahan-kemudahan lain seperti Blok Dewan Serbaguna, Blok Pentadbiran, Gelanggang Terbuka dan Lampu Jalan telah diberikan akses segera kepada masyarakat setempat secara berperingkat menerusi Penyerahan Pendudukan Separa bermula 27hb Februari lalu.
Untuk makluman, projek naik taraf KOMBES WP Labuan terbabit memakan belanja sebanyak RM21.4 juta dan ianya diluluskan pada tahun 2017 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).