Kejohanan Dunia BWF 2027 Ikut Format Sukan Olimpik

November 26, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Kejohanan Dunia BWF yang dijadualkan berlangsung dari 14hb hingga 25hb Julai 2027 di Mississauga, Kanada serta edisi-edisi seterunya akan tampil dengan format pertandingan yang baharu.

Dimaklumkan, ianya akan menerapkan format yang sama diguna pakai sukan badminton di temasya Sukan Olimpik.

Penganjur merangkap badan induk, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi satu pengumuman yang disiarkan pada hari ini mengesahkan perubahan itu.

Perubahan itu bermakna saingan Kejohanan Dunia itu akan menampilkan saingan peringkat kumpulan diikuti dengan peringkat kalah mati melibatkan kelima-lima kategori.

Bagi kategori perseorangan lelaki dan wanita, ianya akan ditandingi seramai 48 orang peserta sahaja – berkurangan 16 peserta berbanding kejohanan yang lalu.


48 orang perserta itu akan dibahagikan kepada 16 kumpulan – setiap kumpulan diisi 3 peserta. 

Setiap peserta akan mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan dan dua peserta terbaik akan melangkah ke pusingan 16.

Manakala bagi kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, ianya akan ditandingi sebanyak 32 pasangan. Kesemua mereka akan dibahagikan kepada lapan kumpulan – setiap kumpulan terdiri daripada empat pasang.

Setiap pasangan akan menghadapi tiga perlawanan dan dua pasangan terbaik setiap kumpulan akan mengesahkan tempat ke pusingan 16.

Bermula tahun depan, sukan badminton turut menghidangkan sistem kiraan mata baharu iaitu 3 x 15 menggantikan 3 x 21 – diumumkan dan diluluskan BWF pada April lalu. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd