Sabah FC Tekad Bangkit Bertemu Selangor FC
Hafiz Omar

Sabah FC bertekad memperbaiki prestasi dan mempamerkan aksi lebih meyakinkan apabila berdepan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, petang Sabtu.
Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido memaklumkan pasukannya tidak berpuas hati sama sekali dengan keputusan menentang Kelantan Red Warrior FC pada Sabtu lalu.
Justeru, Sabah FC berazam untuk menampilkan persembahan yang berbeza bagi pertemuan penting itu.
Tambah Torres lagi, keadaan cuaca serta kualiti padang yang kurang memuaskan dalam tiga perlawanan terakhir turut memberi kesan besar terhadap corak permainan pasukan.
Beliau meletakkan harapan agar keadaan padang Stadium Likas dapat berada pada tahap yang lebih baik terutamanya selepas pihak berkaitan melakukan persiapan bagi memastikan permukaan padang berada dalam keadaan sesuai untuk perlawanan.

Mengulas kekuatan skuad Gergasi Merah, beliau menyifatkan pasukan bimbingan Kim Pan-gon itu sebagai pasukan yang perlu diberikan perhatian terutamanya dari segi organisasi pertahanan dan keupayaan melakukan serangan balas yang berbahaya.
Berdasarkan dua pertemuan lalu, Torres menjangkakan Selangor FC menggunakan pendekatan lebih bertahan dengan lima pemain pertahanan semula jadi selain mengutamakan keberkesanan serangan berbanding penguasaan bola.
Dalam pada itu, Juan mengakui Sabah FC masih berdepan cabaran kekurangan pemain berikutan beberapa tonggak utama mengalami kecederaan sekaligus memaksanya melakukan perubahan dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.
Akan tetapi, Torres menegaskan aspek mentaliti sepanjang perlawanan menjadi antara keutamaan pasukan untuk diperbaiki bagi memastikan Sabah FC mampu memberikan persembahan terbaik kepada penyokong.
Torres berharap pemain dapat membalas sokongan penyokong dengan aksi yang lebih berkualiti dan seterusnya membawa pulang keputusan positif dalam pertemuan menentang Selangor FC.
FEATURED IMAGE: Sabah Football Club