Written by 1:04 pm Bola Sepak, Malaysia

TFC Mahu Jana Pendapatan Dengan Jual Pengalaman ‘Stadium Tour’ Pada Hari Perlawanan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC), Ab Rasid Jusoh telah merancang beberapa perkara dalam usahanya untuk menjana pendapatan buat kelab berpangkalan di pantai timur itu.

Bercakap di dalam sesi Dialog Halatuju Bola Sepak Terengganu di Permai Hotel, Kuala Terengganu semalam, antara salah satu perkara menarik yang dirangka adalah menjual pengalaman Jelajah Stadium (Stadium Tour) kepada para peminat pada hari perlawanan.

Baca: TFC Lantik Ab Rasid Sebagai CEO – Punyai ‘Master’ Dalam Pengurusan Sukan

Menerusi jelajah stadium ini, peminat akan dibawa menaiki bas untuk pusing keseluruhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), turun ke beberapa tempat seperti galeri dan muzim TFC yang akan dibina kelak dan kedai cenderahati TFC.

Selain itu, peminat juga akan di bawa melalui terowong pemain, turun ke padang, melalui mix zone (laluan pemain bertemu para wartawan) dan bilik persalinan home dan away sambil ditemani oleh Tourist Guide yang akan bercerita dan memberikan penerangan di setiap tempat.

Selain daripada menjana pendapatan menerusi jelajah stadium, Ab Rasid juga merangka untuk mengadakan sebuah karnival atau acara yang dinamakan sebagai City Night Game.

Di sini mereka akan mengadakan beberapa kejohanan dan acara dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sekitar stadium pada hujung minggu. 

TFC juga merancang melantik event management untuk mengadakan dan menguruskan uptown dan mengutip sewaan tapak untuk peniaga-peniaga berniaga di situ sekaligus menghidupkan kawasan stadium.

Tidak ketinggalan, Ab Rasid turut meletakkan keutamaan untuk menjana pendapatan menerusi jualan kutipan tiket (gate collection) pada hari perlawanan. 

Untuk makluman, dalam sesi dialog semalam, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim turut berkongsikan dua perlawanan home di awal musim 2020 telah memberikan TFC kutipan berjumlah RM600,000.

Dengan semua perancangan ini, Ab Jusoh meletakkan sasaran TFC akan sifar kebergantungan dengan dana daripada kerajaan negeri pada tahun 2027.

Featured Image: Balrz.tv

(Visited 251 times, 1 visits today)
Close