Penjaga gol muda berusia 19 tahun, Rahadiazli Rahalim tidak memikirkan langsung untuk keluar meninggalkan Terengganu Football Club (TFC) walaupun ‘nilainya’ naik mendadak selepas menampilkan aksi memberangsangkan dalam saingan Liga Super 2020.
Lebih mengagumkan, ini merupakan musim pertamanya beraksi dalam saingan Liga Super setelah dinaikkan pangkat daripada skuad pembangunan bawah 19 tahun, TFC IV yang beraksi dalam kejohanan Piala Belia musim lalu.
“Saya masih lagi terikat dengan kontrak bersama TFC dan tidak ambil pusing sekiranya ada pasukan menghubungi majikan untuk mendapatkan khidmat saya.
“Untuk mendapat panggilan skuad senior negara juga bukan sasaran utama lagi setakat ini, sebaliknya saya mahu membawa pulang trofi untuk TFC. Itu menjadi misi dan fokus saya untuk musim 2021,” katanya seperti dipetik daripada Kosmo!
Difahamkan Rahadi lebih ‘terliur’ untuk kekal bersama pasukan negeri kelahirannya itu supaya dapat menimba pengalaman beraksi dalam pentas kejohanan antarabangsa iaitu saingan Piala AFC 2021.
Untuk makluman, TFC diberikan slot ke pentas asia menerusi kejayaan mereka menempatkan diri di tangga ketiga Liga Super 2020 di belakang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah.
Baca: Piala Malaysia Dibatalkan, Terengganu FC Raih Tiket Piala AFC 2021
“Pencapaian ini sangat membanggakan memandangkan musim ini merupakan tahun pertama saya beraksi pada Liga Super dan layak pula ke Piala AFC.
“Peluang berentap dengan pasukan luar negara memberikan pengalaman baharu yang pastinya penting bagi saya untuk meningkatkan prestasi,” katanya lagi.
Debut pertama Rahadi bersama pasukan senior TFC dalam perlawanan kompetitif hadir ketika aksi sulung Liga Super 2020 menentang Perak.
Bagaimanapun, debut tersebut meninggalkan kenangan pahit buat dirinya apabila dia bolos tiga jaringan sekaligus menyasikan pasukannya tewas dengan keputusan 1-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidim (SMAZA).
Featured Image: Terengganu Football Club