Artikel

Karsten Dipilih Ketua Jurulatih Selangor Kerana Berani Guna ‘Ubi’ Muda

Antara salah satu alasan jurulatih kelahiran jerman, Karsten Neitzel dipilih untuk mengemudi pasukan Selangor adalah keberaniannya untuk menggunakan pemain-pemain muda berbakat.

Bukan sahaja berani mempertaruhkan pemain-pemain muda, menurut Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner, Karsten juga dikatakan memiliki ‘mata helang’ yang mampu mengesan bakat-bakat muda yang berkualiti.

Kedua-dua elemen ini amat diperlukan oleh Selangor dalam usahanya untuk membina sebuah pasukan terbaik di Malaysia dengan mempertaruhkan pemain-pemain muda daripada program pembangunannya selain daripada mendapatkan khidmat pemain-pemain import terbaik.

Baca: Selangor Lantik Ketua Jurulatih Baharu Kelahiran Jerman, Karsten Neitzel

“Ia adalah keutamaan kami untuk melahirkan pemain kita sendiri untuk bermain di Liga Super. Jadi, kita memerlukan ketua jurulatih yang bersifat terbuka untuk menggunakan pemain muda. 

“Kadang-kala, ia sukar untuk seorang jurulatih mempercayai pemain muda kerana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan, tetapi Karsten adalah jurulatih yang berani. 

“Jika beliau dapat melihat kualiti dan kemampuan seseorang pemain muda, beliau akan memberikan mereka peluang. Kita ingin membina pasukan terbaik di Malaysia, dan kita perlu melakukakannya dengan cara kita yang tersendiri. 

“Kita mungkin tidak dapat menarik minat pemain terbaik untuk bermain untuk Selangor, tetapi kita boleh cuba untuk mencipta sebuah pasukan terbaik melalui gaya permainan dan program pembangunan kita.” kata Michael yang cukup mengenali Karsten sebagai bekas pemainnya menerusi laman sesawang rasmi mereka.

Kita dapat melihat usaha yang dilakukan oleh Selangor untuk menaikkan bakat-bakat muda terutamanya daripada pasukan simpanan, Selangor 2 mereka sewaktu dibimbing oleh Michael selaku ketua jurulatih sementara susulan penamatan kontrak B. Satinanthan.

Antaranya Quentin Cheng (pertahanan kanan, 21 tahun), Sharul Nazeem (pertahanan tengah, 21 tahun), Aqil Fadhly (penjaga gol, 21 tahun), Danial Asri (penyerang, 20 tahun) dan Aliff Haiqal Lau (pemain tengah, 20 tahun).

Tidak ketinggalan pemain seperti Mukhairi Ajmal (pemain tengah, 18 tahun) dan Zikri Khalili (pertahanan kiri, 18 tahun) yang dinaikkan pangkat ke skuad senior untuk mengharungi saingan Piala Malaysia 2020 sebelum dibatalkan baru-baru ini.

Featured Image: Selangor FC

komen