Pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir ditabalkan sebagai juara dunia MotoGP 2020 setelah menamatkan perlumbaan GP Valencia di kedudukan ketujuh pada ahad lalu.
Kedudukan tersebut sudah memadai untuk Mir memastikan dirinya gah di puncak tanpa dapat dicabar oleh mana-mana pelumba lain dengan kutipan 171 mata walaupun berbaki satu lagi siri perlumbaan.
Baca: Pelumba Suzuki, Joan Mir Raih Kejuaraan Dunia MotoGP 2020
Bertambah menarik, Mir merangkul kejuaraan tersebut dengan hanya memenangi satu perlumbaan sahaja iaitu di siri perlumbaan GP Eropah setakat 13 perlumbaan yang berlangsung musim ini.
Mengulas mengenai kemenangan oleh pelumba Suzuki Ecstar tersebut, Alex Marquez berkata konsistensi menjadi kunci utama kejayaan Mir disamping prestasi terumbang-ambing pelumba-pelumba lain.
“Memang, dia konsisten,” kata Alex seperti dipetik daripada laman sesawang Motorsports.
“(Jika) sesiapa yang lain mempunyai konsistensi sepertinya, mungkin ia saingan kejuaraan yang berbeza.”
“(Kebiasaannya) kami mempunyai kejuaraan daripada awal musim lagi kamu akan melihat dengan jelas siapa yang akan menjadi juara tetapi musim ini sangat, sangat pelik.”
“Terlalu banyak (prestasi) naik dan turun, terutamanya daripada pelumba Yamaha. Dan (Andrea) Dovizioso juga tidak begitu konsisten.”
“Tetapi dia (Mir) di situ, dia sangat bijak, dia sangat pintar, dan dia melakukan tugas dengan baik untuk meraih kejuaraan buat Suzuki.”
“Dia sangat pintar dan lebih matang daripada semua orang.” ujarnya lagi yang merupakan adik kepada juara dunia MotoGP sebanyak enam kali, Marc Marquez.
Baca: Baki Dua Perlumbaan Ini Saya Tak Sertai, Nantikan Tahun Depan!
Kejayaan Mir yang merangkul kejuaraan dunia pada musim keduanya beraksi dalam saingan MotoGP turut memberikan motivasi tinggi kepada Alex.
Pada masa yang sama, Alex turut menyatakan saingan MotoGP 2021 kelak akan bertambah sukar apabila abangnya bakal kembali berlumba setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan musim ini.
Featured Image: Joan Mir Twitter