Bekas penjaga gol England, Peter Shilton masih menaruh dendam terhadap Diego Maradona atas insiden yang cukup terkenal iaitu ‘Hand of God’.
Ketika itu, Argentina yang diketuai oleh Maradona turun menentang England untuk aksi suku akhir kejohanan Piala Dunia 1986 di Mexico.
Dalam perlawanan tersebut, Diego didapati menumbuk bola di udara untuk mengatasi Peter sekaligus berhasil mencetak gol pembukaan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Azteca.
Menurut peraturan permainan, tindakan yang dilakukan oleh Maradona sepatutnya diberikan kad kuning dan jaringan tersebut perlu dibatalkan.
Namun sebaliknya yang berlaku kerana pengadil tidak mendapat gambaran yang jelas apa yang dilakukan oleh Maradona ditambah pula pada waktu itu tiada teknologi seumpama video assistant referee (VAR).
Dan pengadil membenarkan jaringan tersebut sekaligus memberikan skuad La Albiceleste mendahului 1-0 sebelum Maradona sekali lagi menggandakan kedudukan menerusi satu gerakan solo sekaligus menendang England keluar daripada saingan tersebut.
“Seluruh pasukan England kecewa dengan penipuannya. Dia tidak berjaya melepasi saya, dia menumbuk bola tersebut dengan tangannya.” kata Peter dalam satu temubual pada awal tahun ini.
“Dia mengakuinya, dan mengatakan ianya Hand of God, tetapi dia tidak meminta maaf atau menunjukkan sebarang penyesalan.”
“Dia merupakan pemain hebat dalam sejarah tetapi saya tidak sesekali akan menghormatinya sebagai ahli sukan.” katanya lagi.
Kemenangan Argentina ke atas England itu telah membuka jalan buat Maradona dan rakan-rakannya mara ke pentas akhir bertemu Jerman Barat.
Seperti kita semua sedia maklum, Maradona dan rakan-rakannya berjaya menumpaskan Jerman Barat 3-2 sekaligus menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua selepas memenanginya pada tahun 1978.
Baca: Legenda Dunia, Diego Maradona Meninggal Dunia Pada Usia 60 Tahun
Featured Image: FIFA World Cup