Artikel

Pahang Sah Ikat Lee Tuck Tapi Kedudukan Dollah Belum Pasti

Pahang mengesahkan telah mendapatkan khidmat bekas kapten Terengganu Football Club (TFC), Lee Tuck untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Perkembangan menarik itu disahkan sendiri oleh pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang menerusi satu laporan media tempatan, semalam.

“Lee Tuck sudah sah bersama Pahang (musim depan).” katanya seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Lee Tuck ketika menentang Selangor dalam saingan Liga Super 2020 – Foto: MFL

Baca: Usia Bukan Penghalang, Cheng Hoe ‘Setuju’ Naturalisasikan Lee Tuck & Cabrera

Walaupun telah melakukan kerja awal dengan mendapatkan salah seorang pemain import terbaik dalam saingan Liga Malaysia pada ketika ini, perancangan kem Pahang dilihat sedikit ‘tempang’ apabila belum mengesahkan kedudukan jurulatih mereka, Dollah Salleh.

Ketika ini, Pahang sedang membuat pertimbangan samada mahu mengekalkan Dollah yang telah berkhidmat sebagai ketua jurulatih sejak 2017 atau membawa masuk individu baharu.

“(Tentang jurulatih) masih belum ada keputusan,”

“Jika kepimpinan Pahang selepas ini mahu mengekalkan jurulatih Dollah dan saya sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kami mahu mencari jurulatih baru, ia akan jadi tidak bagus.” 

“Tidak bagus untuk jurulatih Dollah dan pasukan ini.” jelasnya.

Sekiranya khidmat Dollah tidak dilanjutkan, khabar angin bertiup kencang bahawa Pahang mahu mempertimbangkan dua jurulatih muda iaitu Nidzam Jamil (bekas ketua jurulatih Felda United FC) dan Yusri Che Lah (bekas ketua jurulatih Kelantan).

Featured Image: Malaysian Football League

komen